Thursday, October 2, 2008

Bersama Kembali Kepada Fitrah

Telah berlalu sebulan kita menempuh Madrasah Ramadhan yang penuh liku dan cabarannya. Setiap tahun kita bermuhasabah adakah puasa kita masih di tahap yang lama ataupun ada peningkatannya. Bagi muslim yang sentiasa menanti-nanti akan kehadiran Ramadhan, pemergiannya ibarat seperti satu kehilangan yang teramat mendukacitakan. Namun sebaliknya tiada apa yang perlu dikesalkan bagi muslim yang mengganggap Ramadhan adalah seperti bulan-bulan biasa yang dilaluinya, tiada apa yang istimewanya.

Begitulah jadinya resam di dunia ini, jalannya hanya ada dua persimpangan, pilihan hanya ada dua sahaja, tiada pilihan ketiga. Antara kebenaran dan kebathilan, kebaikan dan kejahatan, pahala ataupun dosa, redha ataupun murka. Itulah dua pilihan yang diberikan kepada kita sebagai manusia selaku hamba yang dilahirkan di dunia meneruskan tugas khalifah yang telah diamanahkan Allah. Di samping kita ini diberi pilihan sebenarnya kita sentiasa ditunjuki mana yang baik untuk kita.

Terpulanglah pada kita selaku seorang muslim yang diberi akal yang sempurna melebihi makhluk lain. Bagaimana kita menggunakan neraca pemikiran yang Allah kurniakan ini dalam pertimbangan antara dua persimpangan. Bagaimana akal yang dipandu iman akan memilih jalan yang baik dan benar serta bagaimana pula nafsu syahwat yang bisa mengatasi timbangan akal yang sempurna lantaran iman yang lemah kepada Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan manusia dalam keadaan fitrah, sebagaimana firman-NYA dalam kalam-NYA yang suci lagi agung bahawa manusia ini diciptakan dalam keadaan fitrah. Sabdaan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam; Setiap anak Adam yang dilahirkan dalam keadaaan fitrah, maka ibubapalah yang akan menjadikannya Islam, Yahudi, Majusi mahupun Nasrani.

Dalil dan sumber yang sangat sahih untuk dijadikan bukti bahawa manusia ini pada asalnya dilahirkan dalam keadaan putih bersih, fitrahnya suci tanpa sebarang coretan dan lakaran padanya. Demikianlah juga persamaannya selesai dari Madrasah Ramadhan ini. Kita sering mengharapkan agar amalan kita diterima Allah, setiap kali selesai solat sering kita panjatkan doa memohon agar amal ibadah yang kita lakukan diterima-NYA. Seperti bayi yang baru dilahirkan, suci tanpa sebarang dosa bagi siapa yang berjaya melalui Madrasah Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan. “Siapa yang melakukan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, maka diampunkan dosanya yang sebelumnya.” Demikianlah maksud yang hampir sabda nabi junjungan yang kita kasihi.

Bukankah hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang berpuasa dengan sebenarnya yang dikehendaki oleh Islam, maka inilah ganjaran yang akan kita perolehi. Betapa besarnya pahala yang dijanjikan Allah bagi hamba-hamba-NYA yang bersyukur.

Di antara ciri-ciri istimewa Islam adalah sifatnya yang syumul. Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek dan perkara. Slogan “Islam is the way of life” amat menepati ciri-ciri sebenar Islam. Sememangnya Allah menurunkan Islam untuk memandu manusia ke arah kebaikan. Islam tidak boleh dijuzu’kan mengikut bahagian-bahagian tertentu. Islam menolak sebarang pengkelasan atas tujuan mahu mejuzu’-juzu’kan apa yang ada padanya untuk menimbulkan kekeliruan.

Di samping Islam adalah agama yang syumul, ia juga agama fitrah seperti yang telah kita sama-sama ketahui tadi. Sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan bimbingan dan panduan dari agamanya. Berbagai masalah yang timbul yang menyebabkan manusia tercari-cari jalan penyelesaiannya, sedangkan Allah telah menyediakan jalan keluarnya. Tiada penyakit dan masalah yang berlaku di dunia ini tanpa adanya jalan penyelesaiannya.

Begitulah juga kita yang sentiasa mencari-cari jalan penyelesaian bagi menangani masalah sosial yang melanda, keruntuhan akhlak yang kian meruncing, jenayah yang semakin menjadi-jadi dan sebagainya. Kita seharusnya kembali kepada fitrah yang Allah tetapkan pada kita, semestinya kita kembali kepada Islam dengan mengamalkan semua yang telah diturunkan, bukannya mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hanya dengan Islam sahajalah kita akan menemui jalan penyelesaian bagi apa yang berlaku sekarang ini.

Bersempena dengan bulan Syawal yang baru kita sambut semalam, masih belum terlambat untuk kita sama-sama insafi dan mengambil i’tibar selepas Madrasah Ramadhan yang sama-sama kita lalui. Sesuai dengan namanya Idul Fitri (Hari Raya Fitrah) marilah kita kembali kepada fitrah kita iaitu Islam. Moga sama-sama kita mengamalkan dengan bersungguh-sungguh apa yang telah diajarkan kepada kita oleh junjungan besar nabi yang kita kasihi. Islam bukan hanya pada ibadah sahaja tapi Islam ada satu sistem hidup bagi setiap manusia. Sama-sama kita renungi kalam Saidina Umar ketika membuka Baitul Maqdis “Kita kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sesiapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam maka dia akan dihinakan Allah”. Dapatlah kita simpulkan bahawa hanya dengan Islam sahajalah kita mampu mengembalikan keizzahan kita yang telah lama dicalari dan dipijak-pijak.

Selamat Hari Raya Aidilfitri… Maaf Zahir dan Batin.
izzudinalqassam@gmail.com

No comments: