Thursday, October 2, 2008

Bersama Kembali Kepada Fitrah

Telah berlalu sebulan kita menempuh Madrasah Ramadhan yang penuh liku dan cabarannya. Setiap tahun kita bermuhasabah adakah puasa kita masih di tahap yang lama ataupun ada peningkatannya. Bagi muslim yang sentiasa menanti-nanti akan kehadiran Ramadhan, pemergiannya ibarat seperti satu kehilangan yang teramat mendukacitakan. Namun sebaliknya tiada apa yang perlu dikesalkan bagi muslim yang mengganggap Ramadhan adalah seperti bulan-bulan biasa yang dilaluinya, tiada apa yang istimewanya.

Begitulah jadinya resam di dunia ini, jalannya hanya ada dua persimpangan, pilihan hanya ada dua sahaja, tiada pilihan ketiga. Antara kebenaran dan kebathilan, kebaikan dan kejahatan, pahala ataupun dosa, redha ataupun murka. Itulah dua pilihan yang diberikan kepada kita sebagai manusia selaku hamba yang dilahirkan di dunia meneruskan tugas khalifah yang telah diamanahkan Allah. Di samping kita ini diberi pilihan sebenarnya kita sentiasa ditunjuki mana yang baik untuk kita.

Terpulanglah pada kita selaku seorang muslim yang diberi akal yang sempurna melebihi makhluk lain. Bagaimana kita menggunakan neraca pemikiran yang Allah kurniakan ini dalam pertimbangan antara dua persimpangan. Bagaimana akal yang dipandu iman akan memilih jalan yang baik dan benar serta bagaimana pula nafsu syahwat yang bisa mengatasi timbangan akal yang sempurna lantaran iman yang lemah kepada Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan manusia dalam keadaan fitrah, sebagaimana firman-NYA dalam kalam-NYA yang suci lagi agung bahawa manusia ini diciptakan dalam keadaan fitrah. Sabdaan junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam; Setiap anak Adam yang dilahirkan dalam keadaaan fitrah, maka ibubapalah yang akan menjadikannya Islam, Yahudi, Majusi mahupun Nasrani.

Dalil dan sumber yang sangat sahih untuk dijadikan bukti bahawa manusia ini pada asalnya dilahirkan dalam keadaan putih bersih, fitrahnya suci tanpa sebarang coretan dan lakaran padanya. Demikianlah juga persamaannya selesai dari Madrasah Ramadhan ini. Kita sering mengharapkan agar amalan kita diterima Allah, setiap kali selesai solat sering kita panjatkan doa memohon agar amal ibadah yang kita lakukan diterima-NYA. Seperti bayi yang baru dilahirkan, suci tanpa sebarang dosa bagi siapa yang berjaya melalui Madrasah Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan. “Siapa yang melakukan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, maka diampunkan dosanya yang sebelumnya.” Demikianlah maksud yang hampir sabda nabi junjungan yang kita kasihi.

Bukankah hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang berpuasa dengan sebenarnya yang dikehendaki oleh Islam, maka inilah ganjaran yang akan kita perolehi. Betapa besarnya pahala yang dijanjikan Allah bagi hamba-hamba-NYA yang bersyukur.

Di antara ciri-ciri istimewa Islam adalah sifatnya yang syumul. Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek dan perkara. Slogan “Islam is the way of life” amat menepati ciri-ciri sebenar Islam. Sememangnya Allah menurunkan Islam untuk memandu manusia ke arah kebaikan. Islam tidak boleh dijuzu’kan mengikut bahagian-bahagian tertentu. Islam menolak sebarang pengkelasan atas tujuan mahu mejuzu’-juzu’kan apa yang ada padanya untuk menimbulkan kekeliruan.

Di samping Islam adalah agama yang syumul, ia juga agama fitrah seperti yang telah kita sama-sama ketahui tadi. Sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan bimbingan dan panduan dari agamanya. Berbagai masalah yang timbul yang menyebabkan manusia tercari-cari jalan penyelesaiannya, sedangkan Allah telah menyediakan jalan keluarnya. Tiada penyakit dan masalah yang berlaku di dunia ini tanpa adanya jalan penyelesaiannya.

Begitulah juga kita yang sentiasa mencari-cari jalan penyelesaian bagi menangani masalah sosial yang melanda, keruntuhan akhlak yang kian meruncing, jenayah yang semakin menjadi-jadi dan sebagainya. Kita seharusnya kembali kepada fitrah yang Allah tetapkan pada kita, semestinya kita kembali kepada Islam dengan mengamalkan semua yang telah diturunkan, bukannya mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hanya dengan Islam sahajalah kita akan menemui jalan penyelesaian bagi apa yang berlaku sekarang ini.

Bersempena dengan bulan Syawal yang baru kita sambut semalam, masih belum terlambat untuk kita sama-sama insafi dan mengambil i’tibar selepas Madrasah Ramadhan yang sama-sama kita lalui. Sesuai dengan namanya Idul Fitri (Hari Raya Fitrah) marilah kita kembali kepada fitrah kita iaitu Islam. Moga sama-sama kita mengamalkan dengan bersungguh-sungguh apa yang telah diajarkan kepada kita oleh junjungan besar nabi yang kita kasihi. Islam bukan hanya pada ibadah sahaja tapi Islam ada satu sistem hidup bagi setiap manusia. Sama-sama kita renungi kalam Saidina Umar ketika membuka Baitul Maqdis “Kita kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sesiapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam maka dia akan dihinakan Allah”. Dapatlah kita simpulkan bahawa hanya dengan Islam sahajalah kita mampu mengembalikan keizzahan kita yang telah lama dicalari dan dipijak-pijak.

Selamat Hari Raya Aidilfitri… Maaf Zahir dan Batin.
izzudinalqassam@gmail.com

Sunday, August 24, 2008

Selamat Datang Ramadhan Al-Mubarak
Oleh : Mohd Hanifi Bin Hj Ahmad Jamaludin.

Ramadhan sekali lagi mengunjungi kita. Setiap tahun ia datang dan setiap tahun juga ia pergi meninggalkan kita. Bagaikan baru semalam ia meninggalkan kita. Ketika artikel ini dicoret, kurang dari seminggu umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan yang penuh keberkatan ini. Kedatangan Ramadhan adalah untuk memenuhi tuntutan Allah S.W.T agar kita dapat menunaikan ibadat puasa yang merupakan salah satu rukun dari rukun-rukun Islam. Apa saja ibadah yang difardhukan oleh Allah S.W.T ke atas kita ianya mempunyai matlamat dan kesan yang amali sama ada ke atas individu atau masyarakat yang menjadi anggotanya. Ibadah puasa ini secara jelas memberi kesan kepada pembentukan individu dan pembinaan syaksiyah yang memfokuskan ke arah pembentukan rohani dan akhlak. Ekoran itu, puasa juga dianggap dapat memberi sumbangan positif kepada pembinaan masyarakat.

Puasa merupakan salah satu ujian untuk menguji sejauh mana tahap iman seseorang hamba kepada Allah S.W.T . Puasa juga menguji tahap keikhlasan dan cintanya seseorang hamba kepada penciptaNya. Fardhu puasa yang disyariatkan kepada umat Islam bolehlah dianggap sebagai medan pertarungan di antara keimanan dan syahwat. Keimanan yang kukuh, cinta dan kasih sayang yang sebenar-benarnya kepada Allah S.W.T akan dapat memukul dan menghalang tuntutan nafsu syahwat yang merupakan sifat negatif yang wujud dalam diri manusia. Oleh perkara itu, Allah S.W.T menfardhukan ibadah puasa bagi semua umat dan ianya juga merupakan ibadah utama bagi semua ajaran para Anbiya' dan Rasul.

Firman Allah S.W.T bermaksud :

183. Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Dalam penegasan betapa pentingnya bulan Ramadhan ke atas pengamalan sebagai seorang muslim , Baginda Rasulullah S.A.W pernah bersabda apabila hampir tibanya bulan Ramadhan di dalam sabdanya :

" يأيها الناس إنه قد أقبل إليكم شهر الله تعالى بالبركة والرحمة والمغفرة ، شهر هو عند الله أفضل الشهور وأيامه أفضل الأيام ولياليه أفضل الليالي وساعاته أفضل الساعات ."

Bermaksud : Wahai manusia, sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Allah yang penuh dengan berkat, rahmah dan keampunan . Ia adalah sebaik-baik bulan di sisi Allah, manakala hari-harinya adalah sebaik-baik hari dan malamnya adalah sebaik-baik malam. Dan setiap masa dan detiknya adalah sebaik-baik masa dan detik.

Berdasarkan hadith tersebut, maka bulan Ramadhan telah disebut sebagai bulan Allah S.W.T kerana bulan ini bulan untuk hamba-hambanya menghampirkan diri kepada yang Maha Esa. Ianya juga merupakan bulan rahmat dan keampunan Allah S.W.T.

Ibadah puasa juga sama dengan ibadah-ibadah yang lain yang mempunyai hikmat dan matlamatnya yang tertentu antaranya pembentukan jiwa, pembentukan akhlak, dan pembentukan penghidupan manusia mengikut fitrah yang dituntut oleh Allah S.W.T. Walau apa sekalipun matlamatnya, yang penting adalah puasa merupakan pengabdian diri kepada Allah S.W.T dan menzahirkan pengabdian ini dengan mengamalkan amalan puasa dengan sempurna dan mematuhi semua tuntutan serta mengelakkan diri dari melakukan apa yang dilarang yang boleh merosak dan menjejaskan ibadah suci ini.

Dari sudut yang berbeza, amalan berpuasa merupakan satu pentarbiyahan diri, pengarahan ke atas rohani dan akhlak serta memelihara kesihatan diri dan kebersihan jiwa. Oleh yang demikian, kesan-kesan mengamalkan puasa bolehlah dirumuskan dengan beberapa perkara. Antaranya :

Melatih kekuatan jiwa dan kesabaran diri. Ia juga melatih agar semua yang mengamalkan ibadah puasa menanggung bebanan, menahan pelbagai ujian dalam pelbagai bentuk antaranya menahan lapar dan dahaga, melatih diri untuk menentang syahwat dan nafsu yang ada dalam diri manusia.
Amalan berpuasa berfungsi mengubah sikap manusia dari sikap jumud kepada kesedaran dan keterbukaan di dalam berfikir. Manusia sepatutnya dapat memilih sesuatu yang tepat dengan betul dalam berinteraksi di dalam kehidupannya kerana amalan puasa sangat mencabar emosi jiwa dan pemikiran seseorang itu.
Melatih diri agar sentiasa mengikut kekuatan rohani yang tinggi.
Memelihara kesihatan badan kerana dengan amalan berpuasa, sebahagian anggota badan akan berehat sementara waktu disamping berpuasa itu dapat mengubati pelbagai penyakit termasuk sakit saraf.
Puasa melatih manusia bersifat dengan akhlak yang mulia dan melatih jiwa menjadi baik. Ia juga menghindarkan diri manusia dari melakukan kejahatan dan kemungkaran hasil dari latihan menjaga lidah dan anggota badan sepanjang Ramadhan.
Kemuncaknya, akan wujud ikatan yang kukuh di antara hamba-hamba dengan penciptaNya melalui ibadah puasa.

Pemilihan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk mengerjakan amalan puasa mempunyai hikmah yang tersendiri. Ramai tidak mengetahui disebalik huruf-huruf yang disambung menjadi tulisan Ramadhan mempunyai makna yang tersendiri. Terkadang apabila ditanya mengapa bulan Ramadhan dipilh sebagai bulan untuk mengamalkan amalan puasa, ramai dari kita tidak dapat menjawab.

Huruf Ra' ( ر) membawa pengertian Ridhuanullah yang bermakna bulan Ramadhan adalah bulan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan hamba-hambanya. Kalau tidak, manakan sanggup hamba-hambanya mengamalkan amalan puasa yang sangat mencabar. Perkara ini jelas menunjukkan hubungan yang kukuh di antara hamba dan Penciptanya.
Huruf Mim ( م) membawa maksud Maghfiratullah yang bermakna keampunan dari Allah S.W.T. Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan yang diampunkan dosa-dosa kepada pengamalnya.
Sabda Rasulullah S.A.W :

" رمضان ، أوله رحمة وأوسطه مغفرة وأخيره عتق من النار ."

Bermaksud : " Ramadhan, awalnya Rahmat, tengahnya Keampunan dan akhirnya Pembebasan dari api neraka ".

Huruf Dhod ( ( ضmembawa maksud Dhomanullah iaitu jaminan dari Allah S.W.T kepada hamba-hambanya akan nikmat syurga yang menanti sesiapa yang mengamalkan ibadah puasa. Allah S.W.T telah menjanjikan sebuah pintu syurga yang diberi nama Ar-Rayyan yang akan dimasuki oleh pengamal ibadah puasa seperti yang disabdakan oleh junjungan besar Muhammad S.A.W

" عن سهل بن سعد رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة ، يقال أين الصائمون ؟ فيقومون لا يدخلون منه احد غيرهم فإذا دخلوا أغلق فلم يدخل منه أحد "

Bermaksud : " sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan Al-Rayyan. Pintu ini akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti. Ia berkata, manakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka ( orang yang berpuasa ) pun bangun, dan pintu ini tidak memasukinya seorang pun selain daripada mereka yang berpuasa. Apabila mereka memasukinya, maka ia terus ditutup dan tidak ada sesiapa pun yang memasukinya lagi selepas itu ".

Huruf Alif ( ( ا membawa pengertian Ulfa yang bermakna Berjinak. Bulan Ramadhan dipilih oleh Allah S.W.T sebagai bulan untuk hamba-hambanya berjinak dengan si Pencipta. Kerana apabila hamba diuji dengan ujian yang berat, tidak ada yang lain di cari melainkan yang Maha Esa. Firman Allah S.W.T bermaksud


186. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Ayat di atas jelas memberitahu kita akan dekatnya Allah S.W.T dengan hamba-hambanya. Pernahkah kita terfikir kenapa ayat ini didatangkan selepas ayat yang menfardhukan amalan berpuasa? Ini menunjukkan Allah S.W.T inginkan hamba-hambanya dekat padanya sepertimana Ia dekat dengan hamba-hambanya kerana manusia akan lalai melainkan ketika diuji dengan ujian yang berat dan berpuasa merupakan salah satu ujian yang berat.

Huruf yang terakhir adalah huruf ( ن ) yang membawa pengertian Nikmatullah yang bermakna nikmat dari Allah S.W.T kepada umat Islam yang mengamalkan amalan berpuasa. Jika kita renungi dengan sedalam-dalamnya, Aidilfitri adalah satu nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang berpenat lelah mengerjakan amalan puasa. Akan tetapi, mutakhir ini, Aidilfitri disambut oleh orang yang tidak mengamalkan puasa ataupun yang mengamalkan tanpa keikhlasan seolah-olah terbeban dan mengikut orang tanpa niat yang betul. Banyak lagi nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T di dalam bulan Ramadhan tanpa kita kaji dan selidiki.


Demikianlah, amalan puasa yang difardhukan itu merupakan salah satu manhaj dalam memperbaiki diri dan mendidik manusia seluruhnya.
Wallahu'alam.

Friday, August 8, 2008

TEKA-TEKI IMAM GHAZALI......
Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul bersama anak-anak muridnya, lalu Imam Ghazali bertanya :

Soalan Pertama : "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ? ". Anak-anak muridnya menjawab : " Ibu Bapa, Guru, Kawan dan Sahabat ". Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan itu adalah benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah " Mati ". Sebab itu Allah S.W.T menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al-Imran 185)

Imam Al-Ghazali bertanya lagi kepada anak-anak muridnya soalan kedua : " Apakah yang paling jauh dengan kita ? ". Lalu anak-anak muridnya menjawab : " Negara China, Bulan, Matahari dan Bintang-bintang " . Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang mereka berikan tersebut adalah benar. Tetapi yang paling jauh dengan kita adalah " Masa Lalu ". Walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bermanafaat dan sesuai dengan ajaran agama Islam.

Imam Al-Ghazali meneruskan teka-tekinya dengan menanyakan soalan yang ketiga : " Apakah yang paling besar di dunia ini ?". Anak-anak muridnya menjawab : " Gunung, Bumi dan Matahari ". Semua jawapan itu adalah benar kata Imam Al-Ghazali, akan tetapi yang paling besar di dunia adalah " Nafsu " (Al-'Araf 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita. Jangankan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah : " Apakah yang paling berat di dunia ini ?". Ada anak-anak murid Imam Al-Ghazali menjawab : " Besi dan Gajah ". Betul jawapan tersebut kata Imam Al-Ghazali. Akan tetapi yang paling berat adalah " Memegang Amanah " (Al-Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, Binatang, Gunung-ganang, Bukit-bukau dan Malaikat, semuanya tidak mampu dan menolak ketika mana Allah S.W.T meminta mereka untuk menjadi khalifah (Pemimpin) di dunia ini. Akan tetapi, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah S.W.T sehinggakan kebanyakan manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memikul amanahnya.

Imam Al-Ghazali menanyakan soalan yang kelima : " Apakah yang paling ringan di dunia ini ?". Lalu ada yang menjawab :" Angin, Kapas, Debu dan daun-Daunan". Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang peling ringan di dunia adalah " Meninggalkan Solat ". Gara-gara kerja seharian kita meninggalkan solat dan juga gara-gara berorganisasi, kita meninggalkan solat.

Dan soalan terakhir yang dikemukan oleh Imam Al-Ghazali: " Apakah yang paling tajam di dunia ini ?". Anak-anak muridnya serentak menjawab : " Pedang ". Benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang paling tajam adalah " Lidah Manusia ". Disebabkan lidahlah manusia selalunya menyakiti dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Wallahua'lam.

Monday, July 7, 2008

Selamat Datang Buat Teman Baru Ke Bumi Syria.
Ahli ahli IRHAMI mengucapkan Selamat Datang kepada sahabat lama, Saudara Amir Bin Harun dan Saudara Mohd Khairi Bin Ismail ke bumi syria yang penuh dengan ulama dan ilmu-ilmu islam. Mereka yang tiba ke Bumi penuh barakah ini bertujuan menyambung pengajian di sini..Semoga Kedatangan Mereka menambah lagi keceriaan Ahli IRHAMI dalam bersama-sama menuntut ilmu islam.
selamat belajar.

Sunday, June 29, 2008



Sekolah Menengah Islam Darul Ulum adalah merupakan sebuah sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terletak di Pokok Sena, Kedah Darul Aman.

SMIDU terletak di dalam Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum yang juga terdiri daripada Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), di bawah pengurusan Majlis Muassasah Darul Ulum.

Sekolah ini menawarkan pengajian dari Tingkatan 1 (1 Ikdadi) ke Tingkatan 6 (3 Thanawi). SMIDU menawarkan 2 sijil iaitu Sijil Mutawasitah pagi peringkat Ikdadi dan juga Sijil Nihaiyah bagi peringkat Thanawi.


SEKOLAH MENENGAH ISLAM DARUL ULUM
Km. 23, Jalan Kuala Nerang,
06300 Kuala Nerang
Kedah Darul Aman
Telefon / Faks : 04-7824454
E-Mel : smidu07@gmail.com


Salah seorang guru SMIDU, Ustazah Siti Mekiah binti Haji Shamsuddin telah dianugerahkan Guru Cemerlang 2008 Sekolah Agama Rakyat PAS Kedah. Beliau telah mendapat anugerah tersebut bagi kategori guru sekolah menengah.


Pemilihan beliau sebagai guru cemerlang telah diputuskan melalui ahli panel yang dilantik oleh Lajnah Pendidikan PAS Kedah. Majlis penyampaian anugerah telah diadakan di Dewan Seri Mentaloon iaitu di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah pada 17 Mei 2008, bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Rakyat PAS Kedah yang julung-julung kali diadakan. Majlis tersebut dihadiri oleh semua guru, kakitangan dan ahli lembaga tadbir dari 21 buah sekolah di bawah Lajnah Pendidikan PAS Kedah. Majlis yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang ini turut dihadiri oleh beberapa orang Exco Kerajaan Negeri Kedah dan juga beberapa orang ADUN Negeri Kedah.


Dalam pada itu, Allahyarham Ustaz Ahmad Shauki bin Ibrahim telah dipilih sebagai Tokoh Guru 2008 atas sumbangan dan bakti Allahyarham di dalam bidang pendidikan di sekolah-sekolah agama rakyat di Kedah. Beliau juga merupakan bekas guru SMIDU dan juga bekas Pengerusi Lembaga Tadbir SMIDU.


Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Ustaz Haji Azizan bin Abd. Razak.


Warga IRHAMI mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih atas pengorbanan ustazah mengajar kami sehingga berjaya menjejakkan kaki untuk menyambung pengajian di bumi syria.Pengorbanan ustazah Mekiah sangat kami hargai.


Majlis Hi-Tea Bersama Ulama'
Sekolah Menengah Islam Darul Ulum akan menganjurkan Majlis Hi-Tea Bersama Ulama' pada 16 JULAI 2008.

Tarikh : 16 JULAI 2008
Masa : 5.00 petang
Tempat : Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar (Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah)

Orang ramai dijemput hadir ke majlis tersebut dan boleh mendapatkan KUPON AMAL dengan harga RM 10.00.
Maklumat lanjut boleh hubungi pejabat SMIDU 04-7824454.