Sunday, August 24, 2008

Selamat Datang Ramadhan Al-Mubarak
Oleh : Mohd Hanifi Bin Hj Ahmad Jamaludin.

Ramadhan sekali lagi mengunjungi kita. Setiap tahun ia datang dan setiap tahun juga ia pergi meninggalkan kita. Bagaikan baru semalam ia meninggalkan kita. Ketika artikel ini dicoret, kurang dari seminggu umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan yang penuh keberkatan ini. Kedatangan Ramadhan adalah untuk memenuhi tuntutan Allah S.W.T agar kita dapat menunaikan ibadat puasa yang merupakan salah satu rukun dari rukun-rukun Islam. Apa saja ibadah yang difardhukan oleh Allah S.W.T ke atas kita ianya mempunyai matlamat dan kesan yang amali sama ada ke atas individu atau masyarakat yang menjadi anggotanya. Ibadah puasa ini secara jelas memberi kesan kepada pembentukan individu dan pembinaan syaksiyah yang memfokuskan ke arah pembentukan rohani dan akhlak. Ekoran itu, puasa juga dianggap dapat memberi sumbangan positif kepada pembinaan masyarakat.

Puasa merupakan salah satu ujian untuk menguji sejauh mana tahap iman seseorang hamba kepada Allah S.W.T . Puasa juga menguji tahap keikhlasan dan cintanya seseorang hamba kepada penciptaNya. Fardhu puasa yang disyariatkan kepada umat Islam bolehlah dianggap sebagai medan pertarungan di antara keimanan dan syahwat. Keimanan yang kukuh, cinta dan kasih sayang yang sebenar-benarnya kepada Allah S.W.T akan dapat memukul dan menghalang tuntutan nafsu syahwat yang merupakan sifat negatif yang wujud dalam diri manusia. Oleh perkara itu, Allah S.W.T menfardhukan ibadah puasa bagi semua umat dan ianya juga merupakan ibadah utama bagi semua ajaran para Anbiya' dan Rasul.

Firman Allah S.W.T bermaksud :

183. Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Dalam penegasan betapa pentingnya bulan Ramadhan ke atas pengamalan sebagai seorang muslim , Baginda Rasulullah S.A.W pernah bersabda apabila hampir tibanya bulan Ramadhan di dalam sabdanya :

" يأيها الناس إنه قد أقبل إليكم شهر الله تعالى بالبركة والرحمة والمغفرة ، شهر هو عند الله أفضل الشهور وأيامه أفضل الأيام ولياليه أفضل الليالي وساعاته أفضل الساعات ."

Bermaksud : Wahai manusia, sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Allah yang penuh dengan berkat, rahmah dan keampunan . Ia adalah sebaik-baik bulan di sisi Allah, manakala hari-harinya adalah sebaik-baik hari dan malamnya adalah sebaik-baik malam. Dan setiap masa dan detiknya adalah sebaik-baik masa dan detik.

Berdasarkan hadith tersebut, maka bulan Ramadhan telah disebut sebagai bulan Allah S.W.T kerana bulan ini bulan untuk hamba-hambanya menghampirkan diri kepada yang Maha Esa. Ianya juga merupakan bulan rahmat dan keampunan Allah S.W.T.

Ibadah puasa juga sama dengan ibadah-ibadah yang lain yang mempunyai hikmat dan matlamatnya yang tertentu antaranya pembentukan jiwa, pembentukan akhlak, dan pembentukan penghidupan manusia mengikut fitrah yang dituntut oleh Allah S.W.T. Walau apa sekalipun matlamatnya, yang penting adalah puasa merupakan pengabdian diri kepada Allah S.W.T dan menzahirkan pengabdian ini dengan mengamalkan amalan puasa dengan sempurna dan mematuhi semua tuntutan serta mengelakkan diri dari melakukan apa yang dilarang yang boleh merosak dan menjejaskan ibadah suci ini.

Dari sudut yang berbeza, amalan berpuasa merupakan satu pentarbiyahan diri, pengarahan ke atas rohani dan akhlak serta memelihara kesihatan diri dan kebersihan jiwa. Oleh yang demikian, kesan-kesan mengamalkan puasa bolehlah dirumuskan dengan beberapa perkara. Antaranya :

Melatih kekuatan jiwa dan kesabaran diri. Ia juga melatih agar semua yang mengamalkan ibadah puasa menanggung bebanan, menahan pelbagai ujian dalam pelbagai bentuk antaranya menahan lapar dan dahaga, melatih diri untuk menentang syahwat dan nafsu yang ada dalam diri manusia.
Amalan berpuasa berfungsi mengubah sikap manusia dari sikap jumud kepada kesedaran dan keterbukaan di dalam berfikir. Manusia sepatutnya dapat memilih sesuatu yang tepat dengan betul dalam berinteraksi di dalam kehidupannya kerana amalan puasa sangat mencabar emosi jiwa dan pemikiran seseorang itu.
Melatih diri agar sentiasa mengikut kekuatan rohani yang tinggi.
Memelihara kesihatan badan kerana dengan amalan berpuasa, sebahagian anggota badan akan berehat sementara waktu disamping berpuasa itu dapat mengubati pelbagai penyakit termasuk sakit saraf.
Puasa melatih manusia bersifat dengan akhlak yang mulia dan melatih jiwa menjadi baik. Ia juga menghindarkan diri manusia dari melakukan kejahatan dan kemungkaran hasil dari latihan menjaga lidah dan anggota badan sepanjang Ramadhan.
Kemuncaknya, akan wujud ikatan yang kukuh di antara hamba-hamba dengan penciptaNya melalui ibadah puasa.

Pemilihan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk mengerjakan amalan puasa mempunyai hikmah yang tersendiri. Ramai tidak mengetahui disebalik huruf-huruf yang disambung menjadi tulisan Ramadhan mempunyai makna yang tersendiri. Terkadang apabila ditanya mengapa bulan Ramadhan dipilh sebagai bulan untuk mengamalkan amalan puasa, ramai dari kita tidak dapat menjawab.

Huruf Ra' ( ر) membawa pengertian Ridhuanullah yang bermakna bulan Ramadhan adalah bulan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan hamba-hambanya. Kalau tidak, manakan sanggup hamba-hambanya mengamalkan amalan puasa yang sangat mencabar. Perkara ini jelas menunjukkan hubungan yang kukuh di antara hamba dan Penciptanya.
Huruf Mim ( م) membawa maksud Maghfiratullah yang bermakna keampunan dari Allah S.W.T. Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan yang diampunkan dosa-dosa kepada pengamalnya.
Sabda Rasulullah S.A.W :

" رمضان ، أوله رحمة وأوسطه مغفرة وأخيره عتق من النار ."

Bermaksud : " Ramadhan, awalnya Rahmat, tengahnya Keampunan dan akhirnya Pembebasan dari api neraka ".

Huruf Dhod ( ( ضmembawa maksud Dhomanullah iaitu jaminan dari Allah S.W.T kepada hamba-hambanya akan nikmat syurga yang menanti sesiapa yang mengamalkan ibadah puasa. Allah S.W.T telah menjanjikan sebuah pintu syurga yang diberi nama Ar-Rayyan yang akan dimasuki oleh pengamal ibadah puasa seperti yang disabdakan oleh junjungan besar Muhammad S.A.W

" عن سهل بن سعد رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة ، يقال أين الصائمون ؟ فيقومون لا يدخلون منه احد غيرهم فإذا دخلوا أغلق فلم يدخل منه أحد "

Bermaksud : " sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan Al-Rayyan. Pintu ini akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti. Ia berkata, manakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka ( orang yang berpuasa ) pun bangun, dan pintu ini tidak memasukinya seorang pun selain daripada mereka yang berpuasa. Apabila mereka memasukinya, maka ia terus ditutup dan tidak ada sesiapa pun yang memasukinya lagi selepas itu ".

Huruf Alif ( ( ا membawa pengertian Ulfa yang bermakna Berjinak. Bulan Ramadhan dipilih oleh Allah S.W.T sebagai bulan untuk hamba-hambanya berjinak dengan si Pencipta. Kerana apabila hamba diuji dengan ujian yang berat, tidak ada yang lain di cari melainkan yang Maha Esa. Firman Allah S.W.T bermaksud


186. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Ayat di atas jelas memberitahu kita akan dekatnya Allah S.W.T dengan hamba-hambanya. Pernahkah kita terfikir kenapa ayat ini didatangkan selepas ayat yang menfardhukan amalan berpuasa? Ini menunjukkan Allah S.W.T inginkan hamba-hambanya dekat padanya sepertimana Ia dekat dengan hamba-hambanya kerana manusia akan lalai melainkan ketika diuji dengan ujian yang berat dan berpuasa merupakan salah satu ujian yang berat.

Huruf yang terakhir adalah huruf ( ن ) yang membawa pengertian Nikmatullah yang bermakna nikmat dari Allah S.W.T kepada umat Islam yang mengamalkan amalan berpuasa. Jika kita renungi dengan sedalam-dalamnya, Aidilfitri adalah satu nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang berpenat lelah mengerjakan amalan puasa. Akan tetapi, mutakhir ini, Aidilfitri disambut oleh orang yang tidak mengamalkan puasa ataupun yang mengamalkan tanpa keikhlasan seolah-olah terbeban dan mengikut orang tanpa niat yang betul. Banyak lagi nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T di dalam bulan Ramadhan tanpa kita kaji dan selidiki.


Demikianlah, amalan puasa yang difardhukan itu merupakan salah satu manhaj dalam memperbaiki diri dan mendidik manusia seluruhnya.
Wallahu'alam.

Friday, August 8, 2008

TEKA-TEKI IMAM GHAZALI......
Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul bersama anak-anak muridnya, lalu Imam Ghazali bertanya :

Soalan Pertama : "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ? ". Anak-anak muridnya menjawab : " Ibu Bapa, Guru, Kawan dan Sahabat ". Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan itu adalah benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah " Mati ". Sebab itu Allah S.W.T menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al-Imran 185)

Imam Al-Ghazali bertanya lagi kepada anak-anak muridnya soalan kedua : " Apakah yang paling jauh dengan kita ? ". Lalu anak-anak muridnya menjawab : " Negara China, Bulan, Matahari dan Bintang-bintang " . Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang mereka berikan tersebut adalah benar. Tetapi yang paling jauh dengan kita adalah " Masa Lalu ". Walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bermanafaat dan sesuai dengan ajaran agama Islam.

Imam Al-Ghazali meneruskan teka-tekinya dengan menanyakan soalan yang ketiga : " Apakah yang paling besar di dunia ini ?". Anak-anak muridnya menjawab : " Gunung, Bumi dan Matahari ". Semua jawapan itu adalah benar kata Imam Al-Ghazali, akan tetapi yang paling besar di dunia adalah " Nafsu " (Al-'Araf 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita. Jangankan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah : " Apakah yang paling berat di dunia ini ?". Ada anak-anak murid Imam Al-Ghazali menjawab : " Besi dan Gajah ". Betul jawapan tersebut kata Imam Al-Ghazali. Akan tetapi yang paling berat adalah " Memegang Amanah " (Al-Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, Binatang, Gunung-ganang, Bukit-bukau dan Malaikat, semuanya tidak mampu dan menolak ketika mana Allah S.W.T meminta mereka untuk menjadi khalifah (Pemimpin) di dunia ini. Akan tetapi, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah S.W.T sehinggakan kebanyakan manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memikul amanahnya.

Imam Al-Ghazali menanyakan soalan yang kelima : " Apakah yang paling ringan di dunia ini ?". Lalu ada yang menjawab :" Angin, Kapas, Debu dan daun-Daunan". Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang peling ringan di dunia adalah " Meninggalkan Solat ". Gara-gara kerja seharian kita meninggalkan solat dan juga gara-gara berorganisasi, kita meninggalkan solat.

Dan soalan terakhir yang dikemukan oleh Imam Al-Ghazali: " Apakah yang paling tajam di dunia ini ?". Anak-anak muridnya serentak menjawab : " Pedang ". Benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang paling tajam adalah " Lidah Manusia ". Disebabkan lidahlah manusia selalunya menyakiti dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Wallahua'lam.